|
Showing posts with label kisah seram. Show all posts
Showing posts with label kisah seram. Show all posts
Contest: Cerita Seram - Suara Tetamu Malam12 comments 25 March 2012
*Ini adalah entri kontest anjuran Syaf. Sila klik banner di bawah kalau korang nak join.
Fuh, kalau nak diceritakan pasal kisah seram. Aku pasti, ramai antara kita yang pernah alaminya, kan? Aku pun tak terkecuali. Korang nak tau apa kejadian seram yang pernah aku alami? Ok teruskan membaca. --------- Cerita bermula ----------- Kejadian ni berlaku lebih kurang 20 tahun yang lepas. Waktu tu aku berumur 5 tahun. Aku tinggal bersama keluarga aku di rumah setinggan, 2 tingkat. Kami duduk 8 beradik, bersama mak dan ayah. Kami sekeluarga selalu masuk tidur awal. Pukul 10 malam, lampu di rumah ditutup semuanya. Adik-adik aku yang masih kecil tidur bersama mak dan ayah di bilik bawah. Manakala aku, abang dan kesemua kakak akan naik ke tingkat 2. Tidur di ruangan masing-masing. Masa tu, kami cuma beralaskan cadar, dan ditutup oleh kelambu. Jika kelambu tiada, confirm, bangun pagi badan penuh bintik2 merah akibat digigit nyamuk. Aku ada tabiat yang pelik. Tak tahu kenapa. Setiap malam, aku pasti akan terjaga. Dan pada suatu malam, seperti biasa, aku terjaga dari tidur. Aku tak pasti waktu tu pukul berapa. Tapi, keadaan sekeliling sangat gelap dan sunyi. Cuma cahaya bulan purnama yang memberikan sedikit sinar yang malap, masuk ke dalam kamar aku melalui tingkap yang ditutupi oleh langsir. "Patutla sejuk, tingkap tak tutup rupanya. Nyamuk pun mesti banyak masuk nanti", fikir aku. Perlahan-lahan aku bangkit, dan dekati tingkap tu, dengan niat untuk menutupnya. Tiba-tiba, "Zass", satu bayang-bayang putih melintas dari luar tingkap. Ianya lalu dengan sangat pantas. Aku tak nampak jelas apakah bendanya tu. Aku kaget dan tercengang, berdiri diam seribu bahasa. Tiba-tiba, "Woof, wooff". Anjing menyalak dari luar rumah aku dengan salakan yang amat kuat. Aku tersentak. Terkejut. Cepat-cepat aku meluru masuk ke dalam kelambu. Tingkap tadi aku hanya biarkan sahaja ianya terbuka. Hanya satu perasaan aku masa tu, TAKUT. Aku teringat orang kata, kalau anjing menyalak. Maksudnya dia nampak "sesuatu". Mungkin apa yang aku nampak tadi, sama seperti apa yang anjing-anjing tu nampak. Sebab tu mereka menyalak. Badan aku menggigil. Aku tarik selimut, dan pekup muka aku dengan bantal. Dengan harapan, aku dapat terlelap segera. Tapi, harapan aku meleset. Semuanya tidak berakhir begitu sahaja. Selepas anjing-anjing tersebut menyalak dengan kuatnya, kedengaran pula suara tangisan halus, betul-betul di luar tingkap yang terbuka tadi. Tangisan diselangi dengan suara mengilai. "Ee hee heeee".. Ini pertama kali aku dengar suara mengilai secara nyata. Biasanya, hanya di kaca tv, dalam filem-filem hantu. Tak terfikir sedikit pun yang aku akan alaminya sendiri. "Ee hee heee".. Aku semakin takut. Jantung aku terus berdegup kencang. Mustahil aku dapat tidur lagi dengan perasaan yang amat takut ni. "Ee hee heeee", makhluk tu terus mengilai. Tapi, kali ni kedengaran suara tersebut semakin jauh. Lebih perlahan. "Woof wooff", salakan anjing seperti mengikut ke mana makhluk tersebut pergi. Bunyi salakan juga semakin jauh. Semakin perlahan. Namun, ia tidak berhenti. Suara mengilai dan salakan anjing sepertinya sedang berlawan antara satu sama lain. Sedikit lega dalam hati aku. Kerana kedua-dua bunyi hilaian dan salakan tersebut tidak lagi kuat dan dekat seperti tadi. Hujan turun tiba-tiba. Bunyi rintikan hujan menutup segala bunyi lain yang ada pada malam tu. Hati aku mula tenang, dan akhirnya aku tertidur dengan bantal yang masih terpekup di muka aku. Itulah peristiwa seram yang pernah aku alami. Aku tak pernah nampak hantu. Tapi, suara "orang mengilai" yang pernah aku dengar tu, mampu untuk menaikkan bulu roma aku. Aku rasa, suara hilaian tu mungkin milik pontianak yang tersesat jalan. Persoalan tu aku terus simpan dalam fikiran aku, tanpa dikongsi dengan orang lain. Termasuk keluarga aku. Sebab, aku sendiri tak yakin. Adakah apa yang aku alami pada malam tu betul-betul berlaku, atau mimpi aku semata-mata. 18 tahun berlalu. Kami sekeluarga tidak lagi duduk di rumah setinggan yang dulu. Kami dah pun berpindah rumah. Adik-beradik aku pun semuanya dah besar. Kadang-kadang, bila kami berkumpul beramai-ramai. Kami akan berkongsi cerita apa yang pernah kami buat kecik-kecik dulu. Tergelak-gelak bila terkenangkan kenakalan masing-masing masa kecik dulu. Kami ceritakan semuanya. Tengah syok berbual, tiba-tiba, Kak Ngah aku bukak cerita, "Akak masa kecik-kecik dulu selalu dengar suara orang mengilai dari luar rumah". Aku terkejut. Cerita dia sama seperti apa yang aku pernah alami dulu. Aku semakin yakin. Apa yang aku pernah alami dulu bukanlah perasaan aku semata-mata. Tapi, memang betul-betul terjadi. Walaupon 20 tahun dah berlaku, suara hilaian pontianak tu masih jelas terngiang-ngiang dalam kepala ni. Shhuuuh kau pontianak. Tiada apa yang aku nak pulangkan pada kau. Grrr.. --------- Cerita TaMMaT ----------- Untuk mengakhiri entri ni. Dengan segala hormatnya aku mengetag (1) Phat the Great, dan (2) Misz Nadea untuk sama-sama menjayakan lagi kontest ni. Ngehh.. Korang Percaya Tak, Ada Orang Boleh Nampak Makhluk Halus??22 comments 04 September 2011Betul ke ada orang yang Allah bagi keistimewaan. Deria ke enam. 6th sense. Dia boleh nampak makhluk halus. Tak sama macam orang lain. Korang rasa macam mana. Percaya tak ada manusia istimewa macam tu? Dulu, bagi aku. Aku tak percaya ada orang istimewa camni. Bukan aku tak percaya kewujudan makhluk halus. Tapi, aku tak percaya ada orang yang boleh nampak. Tapi orang lain tak boleh. Konsep yang aku percaya, bila makhluk halus tu munculkan dirinya, contoh pontianak ke, baru kita semua boleh nampak dengan mata kasar. Tapi, satu peristiwa ni dah mula pecahkan konsep yang aku pegang tu. Benda ni baru je jadi beberapa hari lepas. Ceritanya bermula macam ni.. Bahagian Satu: Di rumah Sehari sebelum raya, kawan adik aku datang ke rumah aku. Tujuan dia datang untuk bertukar-tukar game komputer dan movie dengan adik aku. Dalam 2 jam jugak la dia lepak kat rumah aku. Lepas dia balik je, sebelum blah, dia bagitau kat adik aku. "Wei, tadi aku nampak kat bahu kau ada darah". Pergghh, mau berderau darah bila dengar dia cakap macam tu. Adik aku tanya, dia gurau ke? Dia cakap tak. Lepas kawan dia balik. Adik aku bagitau, kawan dia tu memang biasa boleh nampak benda "paranormal" macam ni. Ada kemungkinan jugak. Sebab adik aku tu baru je masuk politeknik yang terletak kat kawasan pedalaman. Dengarnya tempat tu memang agak 'keras'. Mungkin 'benda' tu ikut dia sampai rumah kot. Mak aku pun cadangkan raya nanti, kat kampung, minta tolong dengan pakcik. Dia pandai mengubat orang yang kena gangguan makhluk halus. Bahagian Dua: Di kampung Keluarga aku sampai kat kampung pada hari raya ke dua. Malam tu, kampung aku buat kenduri doa selamat. Habis makan, adik aku jumpa dengan pakcik aku untuk mintak pelindung, supaya dijauhkan daripada syaitan iblis yang ikut dia tu. Pakcik aku pun baca ayat al-Quran, dan ayat-ayat biasa dia baca untuk mengubat. Dalam 5 minit je selesai. Pakcik aku kata, takde apa sangat la. Memang ada makhluk halus yang ikut dia. Tapi, gangguan tu peringkat rendah je. Asalkan amalkan ambik air yang dia dah jampi tu. Baca ayat pelindung. InsyaAllah, hilang la 'benda' tu. "Alah, entah betul entah tak pakcik si Jejaka Terhangat tu. Dia jampi tak jadi apa-apa pun. Entah-entah dia auta je cakap camtu kot." Hah, kalau korang ada perfikiran camtu. Meh sini aku nak lempang korang laju-laju. Baca ni dulu, apa yang jadi lepas tu. Lepas selesai mengubat adik aku. Pakcik aku offer kat anak-anak buah dia. "Siapa lagi yang nak?", dengan nada bergurau. Tak semena-mena, sepupu aku datang kat pakcik aku. Katanya dia pulak nak berubat. Katanya lagi, dia memang tau ada makhluk halus dalam badan dia. Errkk..!! Pakcik aku pun mulakan bacaan, macam dia buat kat adik aku tadi. Tapi kali ni lagi best, tak sampai seminit, sepupu aku tu dah batuk-batuk. Daripada duduk bersila, kini badan dia dan membongkok. Dia tak lagi dapat kawal gerakan badan dia. "Wargh, arrghh", sepupu aku menjerit. Suasana dalam rumah tu yang bising jadi terdiam. Budak-budak kecik semua larikan diri daripada tempat tu. Takde sorang pun sangka malam tu akan jadi setegang ni. Sepupu aku meracau-racau. Badan dia kini bukan lagi milik dia. Tapi, dah diambil alih oleh jin yang kesakitan bila dijampi oleh pakcik aku. "Warghh", sepupu aku meronta-ronta. Dengan sepantas kilat, sepupu aku yang lain pegang tangan dan kaki dia, supaya dia tak lari. Keadaan tegang tu berlarutan sampai lebih sejam. Sekali-sekala kelihatan sepupu aku tu cuba melawan pergerakan yang dibuat oleh jin tu. Pakcik aku kata, bukan seekot je jin yang ada dalam badan dia. Tapi lebih. Dan malam tu, hanya satu je yang berjaya dikeluarkan. Gambar hiasan (google) Dari mana jin tu datang? Jawapannya, sepupu aku ni masuk silat. Aku rasa korang pun pernah dengar. Silat-silat peringkat tinggi ni memang ada bermain dengan ilmu. Tok guru silat suruh anak murid dia baca mantera yang entah apa-apa. Sepupu aku rasakan ada sesuatu yang tak kena. So, dia pun keluar dari silat tu. Tapi dah terlambat. Jin-jin yang dia seru tanpa dia sedar tu, dah pun duduk dalam salur darah dia. Itulah ceritanya. Daripada kawan adik aku yang mengaku boleh nampak benda ghaib. Sampailah sepupu aku meracau sebab jin tinggal dalam badan dia. Kita semua pun entah-entah ada makhluk halus yang 'jaga' kita tanpa kita sedar. Cuma kuat atau tak gangguan dia, wallahualam. Kita sendiri kena check. Kita bukan boleh jangka pun kalau ada orang busuk hati, pergi bomoh, sihirkan kita kan? Memang syaitan, jin, iblis yang menumpang dalam badan kita tu jarang keluar. Sampailah dia disakitkan dengan ayat-ayat al-Quran. Sebab tu orang yang ada gangguan, dia masih boleh hidup macam orang normal. Peristiwa ni dah mengajar aku dua benda yang sangat penting. Satu, memang ada orang istimewa yang dipilih Allah, yang boleh tengok benda halus. Dua, perubatan islam memang terbukti berkesan. Cuma, perlu dibawa pada orang yang betul. Yakinlah dengan islam. Dulu aku kurang percaya. Sekarang, bila kejadian 'mistik' ni jadi depan mata kepala aku sendiri, aku jadi sangat yakin dengan kedua-dua benda ni.
Subscribe to:
Posts (Atom)
|
